KUALA LUMPUR, 29 Sept. – Barisan Nasional (BN) sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang kosong ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima, dua hari lalu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Ibu Pejabat telah pun bersedia untuk menggempur para pengundi di kawasan terbabit berlandaskan kepada kejujuran dan ketelusan khidmat BN selama ini.
“Selaras dengan apa yang telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN dan UMNO akan membuat persiapan rapi termasuklah dalam memastikan calon BN pada pilihan raya kecil itu,” katanya kepada umno-online.com.
Jelasnya, BN tidak takut berdepan dengan Pas yang tentunya akan menjadi seteru dalam pilihan raya tersebut malah dengan penuh keyakinan akan memastikan segala perancangan dibuat mantap untuk hasil yang cemerlang.
“Apa yang kita lihat, pihak pakatan pembangkang semakin terdesak untuk mempertahankan DUN tersebut sehingga menimbulkan pelbagai isu termasuklah menyarankan BN tidak meletakkan calon demi,” katanya.
Namun demikian, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan bahawa BN bukanlah parti yang boleh dipermainkan atau termakan dengan helah pembangkang.
“Kita percaya bahawa pada pilihan raya kecil DUN Galas nanti, Pas tentunya sedaya upaya cuba mempertahankan kerusi tersebut daripada jatuh ke tangan BN, dan kita sendiri bersedia untuk merampas kawasan tersebut.”
Jelas beliau, kita mahukan kesinambungan kesejahteraan dan keselesaan yang dikecapi hari ini berterusan yang terbukti secara keseluruhannya adalah hasil daripada pentadbiran BN sebagai tunjang negara. - MediaUMNO